LONDON: Bekas Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak mengukuhkan kedudukannya dalam pusingan terbaharu undian oleh Ahli Parlimen Konservatif bagi menentukan jawatan perdana menteri baharu, biarpun perlumbaan ke peringkat seterusnya dijangka semakin sengit.
Sunak memenangi sokongan sebanyak 115 ahli Parlimen Tory, diikuti Penny Mordaunt dengan 82 undi, Liz Truss (71 undi), Kemi Badenoch (58 undi) dan Tom Tugendhat (31 undi).
Ahli Parlimen akan terus mengundi sehingga hanya tinggal dua calon seterusnya dan pemenang kemudian ditentukan oleh ahli parti.
Mordaunt sebelum ini menjadi kegemaran tetapi kehilangan undian dari pusingan terdahulu.
Menteri Luar, Truss pula merapatkan jurang dan dijangka menerima lebih banyak sokongan daripada penyokong Badenoch, sekiranya beliau tersingkir dalam pusingan seterusnya.
Agensi Sky News melaporkan, stesen televisyen pada mulanya membatalkan sesi perdebatan yang dirancang antara pesaing yang tinggal selepas Sunak dan Truss menarik diri.
“Ahli Parlimen Tory dikatakan bimbang mengenai kerosakan yang dilakukan dalam perbahasan itu terhadap imej parti, yang boleh mendedahkan perselisihan faham dan perpecahan dalam parti,” jelas stesen televisyen itu.
Perdana Menteri, Boris Johnson sebelum ini mengumumkan beliau akan berhenti sebagai pemimpin Konservatif selepas penggantinya dipilih.
Beliau akan kekal sebagai perdana menteri sehingga penggantinya diumumkan pada 5 September ini. – AFP