BEIJING: Ramalan Kaji Cuaca Hong Kong mengeluarkan amaran taufan lewat semalam susulan ketibaan Ribut Tropika Chaba, dengan tiupan angin dijangka menghentam selatan China.
Bencana alam terbaharu itu dikhuatiri menyebabkan lebih banyak kerosakan di kawasan pedalaman yang masih dilanda ribut dan hujan sejak beberapa minggu lalu.
Siklon tropika pertama pada tahun ini melanda Hong Kong pada waktu siang ketika Presiden China, Xi Jinping, tiba di tanah bekas jajahan British itu untuk meraikan ulang tahun 25 tahun ia kembali kepada pemerintahan China.
Pada jam 11 malam waktu tempatan, Balai Cerap Hong Kong memaklumkan, ribut tropika Chaba berada kira-kira 570 kilometer ke selatan Hong Kong .
Ia diramalkan bergerak dari utara ke barat laut pada kelajuan sekitar 18 kilometer sejam secara umumnya ke arah pantai barat Guangdong.
Balai cerap mengeluarkan Isyarat Angin Kencang No. 3 – meningkat daripada amaran terendahnya – bermakna angin dengan kelajuan purata 41 hingga 62 kilometer sejam dijangka berlaku sehingga menjelang tengah hari ini.
“Pastikan objek yang mungkin diterbangkan diikat dengan selamat atau dibawa ke dalam rumah. Jauhi pantai dan jangan terbabit dalam sukan air,” kata balai cerap di laman sesawangnya.
Ia juga memaklumkan akan memantau dengan teliti pergerakan Chaba dan perubahan angin tempatan.
Wilayah pesisir pantai Guangdong, negeri yang paling ramai penduduknya dengan kira-kira 126 juta orang, dibanjiri hujan bulan lalu menyebabkan banjir sewaktu ribut petir musim panas melanda lebih awal di selatan China.
Terdahulu, Pejabat Am Pertahanan Negara mengeluarkan maklum balas kecemasan tahap 4 dan menghantar dua kumpulan kerja ke Guangdong dan wilayah Guangxi bagi membantu serta membimbing kerja pencegahan taufan, menurut media rasmi China.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan di wilayah Hainan China pada hari ini mengumumkan penutupan tiga pelabuhan ketika ribut tropika Chaba bergerak menuju ke pulau selatan.