KYIV: Ukraine berdepan situasi tegang baharu selepas Presiden Volodymyr Zelensky memecat dua pegawai tertinggi negara ini.

Zelensky menerusi pengumuman memaklumkan, beliau memecat ketua pendakwa raya, Iryna Venediktova dan ketua keselamatan, Ivan Bakanov berikutan disyaki mengkhianat negara.
Menerusi ucapan, Zelensky memaklumkan lebih 650 kes paling tadah dan membantu pasukan tentera Russia melibatkan pegawai kerajaan Ukraine sedang disiasat, termasuk 60 kes membabitkan pegawai yang berada di ‘wilayah dikuasai Russia dan bersedia menentang negara ini’.
“Sejumlah besar jenayah terhadap keselamatan negara dan hubungan yang terjalin antara pegawai penguatkuasa undang-undang Ukraine dengan perkhidmatan khas Russia menimbulkan persoalan yang amat serius kepada pemimpin berkaitan.
“Dan setiap persoalan itu akan dijawab,” ujar Zelensky.
Selain itu, pemimpin Ukraine tersebut turut menzahirkan kebimbangan terhadap operasi ketenteraan Russia yang disifatkan semakin agresif dari semasa ke semasa.
Kyiv mendakwa Moscow melancarkan lebih 3,000 peluru berpandu terhadap sasaran di Ukraine sehingga mengorbankan banyak nyawa penduduk dan anggota tenteranya.
Dalam perkembangan berkaitan, berhampiran pesisir Laut Hitam di bandar Mykolaiv, kedua-dua pasukan tentera saling melancarkan serangan udara.
Gabenor Vitaliy Kim memaklumkan, pertempuran sengit itu menyebabkan sejumlah kawasan penempatan musnah terkena bedilan sehingga meragut tiga nyawa di Shevchenkove dan seorang wanita terbunuh di Shyrokiv.
Menerusi wawancara bersama BBC kelmarin, jurucakap tentera Britain, Tony Radakin menganggarkan 50,000 tentera Russia terbunuh atau cedera sejak peperangan berlaku dengan hampir 1,700 kereta kebal dan 4,000 kenderaan berperisai milik Moscow musnah dalam pertempuran.
Disebabkan itu, Russia semakin terdesak untuk ‘memenangi peperangan’, menyebabkan mereka melancarkan serangan secara besar-besaran dan berterusan. – AFP