JAKARTA: Kerajaan diminta mengemaskini semula modul pelaksanaan kursus haji bagi musim haji tahun depan selepas ramai jemah yang dilihat tidak biasa dengan perkara-perkara teknikal.
Pengerusi Jawatankuasa VIII Dewan Perwakilan Indonesia, Yandri Susanto berkata, jemaah haji yang berasal dari kampung tidak mempunyai pengalaman menaiki pesawat, menginap di hotel serta tinggal di bilik yang mempunyai pendingin hawa.
Jelasnya, perkara-perkara teknikal seperti ini amat penting sebelum proses pelepasan jemaah ke tanah suci.
“Ini adalah masalah asas kerana rata-rata jemaah atau bersamaan 30 peratus daripada mereka tidak pernah menamatkan pengajian di sekolah rendah.
“Jadi, Kementerian Agama mesti memasukkan modul teknikal semasa kursus haji,” katanya.
Beliau memberikan cadangan tersebut selepas membuat penilaian mengenai urusan ibadah haji tahun ini.
Katanya, kursus haji bukan semata-mata mengajar tentang pelaksanaan ibadah seperti melontar di jamrah, tawaf dan saie, bahkan perlu merangkumi daripada aspek sebelum pelepasan sehingga kembali semula di tanah air.
Dalam perkembangan sama, seramai 11,588 jemaah haji sudah tiba di Indonesia setakat semalam, manakala jumlah keseluruhan jemaah yang meninggal dunia di tanah suci adalah 61 orang.
Sementara itu, Ketua Panitia Penyelenggara Ibadah Haji Arab Saudi, Arsad Hidayat berkata, jemaah haji hanya dibenarkan membawa tiga beg dalam penerbangan pulang ke tanah air.
“Jemaah hanya dibenarkan membawa beg pakaian dengan maksimum berat bagasi 32 kilogram (kg), manakala beg tangan dan pasport maksimum tujuh kg,” katanya.











