SEOUL: Korea Utara hari ini mendakwa penularan wabak Covid-19 pertama di negara itu bermula dengan pesakit menyentuh ‘bendasing’ di sempadan dengan Korea Selatan.
Dalam hasil siasatan yang diumumkan, Korea Utara mengarahkan rakyatnya supaya ‘berhati-hati menangani bendasing yang dibawa oleh angin dan fenomena iklim serta belon di sepanjang garis persempadanan dan sempadan’.
Media kerajaan, KCNA melaporkan, seorang askar berusia 18 tahun dan seorang budak tadika berusia lima tahun mempunyai gejala dan diuji positif untuk Covid-19 selepas melaporkan mengenai bahan yang tidak dikenal pasti ‘di sebuah bukit di sekitar berek dan kawasan kediaman’ di daerah timur Kumgang pada awal April lalu.
Menurut agensi berita itu, kesemua kes demam lain yang dilaporkan di negara ini sehingga pertengahan April lalu adalah disebabkan oleh penyakit lain, namun mereka tidak memperincikan kes berkenaan.
Pembelot dan aktivis Korea Utara di Korea Selatan sejak berpuluh tahun lalu menerbangkan belon membawa risalah dan bantuan kemanusiaan merentasi sempadan yang dikawal rapi.
Kerajaan bekas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, pada 2020 menghalang kempen sedemikian, susulan kebimbangan keselamatan penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Korea Utara berdepan gelombang pertama jangkitan Covid-19 dan mengisytiharkan darurat pada Mei lalu selepas bertahun-tahun menguatkuasakan sekatan ketat untuk menghalang virus itu daripada memasuki negara itu.
Pada Julai 2020, pemimpin Utara Kim Jong-un mengisytiharkan darurat dan mengenakan sekatan tiga minggu di bandar Kaesong, berhampiran sempadan antara Korea, selepas seorang lelaki yang berpaling tadah ke Selatan pada 2017 kembali ke bandar itu dan menunjukkan gejala Covid-19.
Korea Utara bagaimanapun mendakwa gelombang Covid-19 sudah menunjukkan tanda-tanda reda tetapi pakar mengesyaki negara itu tidak melaporkan angka sebenar melalui media dikawal kerajaan.
Hari ini, Korea Utara melaporkan seramai 4,570 orang yang mengalami simptom, dengan jumlah pesakit demam yang direkodkan sejak akhir April adalah 4.74 juta.
Pyongyang setiap hari mengumumkan jumlah pesakit yang bergejala tanpa menyatakan mereka sebagai pesakit Covid-19, disebabkan kekurangan kit ujian. – REUTERS