BANGKOK: Kebiasaannya, penunggang motosikal akan disaman jika menunggang tanpa memakai topi keledar.
Namun, situasi berbeza di timur Thailand apabila polis memberikan topi keledar percuma kepada penunggang yang ditahan kerana tidak memakainya, selain tidak akan disaman.
Lapor thethaiger.com, Timbalan Ketua Polis Wilayah Trat bersama pasukan polis trafik melaksanakan pendekatan itu dalam satu operasi yang dijalankan kelmarin.
Polis tidak mengenakan kompaun sebaliknya memberi topi keledar percuma kepada para penunggang motosikal yang ditangkap tanpa helmet ketika melalui kawasan sekolah di bandar utama itu.
Menurut Ketua Polis Somchai Yusawat, langkah itu merupakan sebahagian kempen meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya mengenai pemakaian topi keledar tanpa mengira sama ada menunggang jarak dekat atau jauh.
Setakat ini, Organisasi Pentadbiran Wilayah Trat sudah membeli sekurang-kurangnya 2,000 buah topi keledar untuk diagihkan.
“Saya berasa sangat simpati dengan banyak keluarga yang tidak mampu membeli topi keledar dengan keadaan ekonomi begitu sukar.
“Bagaimanapun, selepas menerima topi keledar percuma ini, penunggang mesti memakainya,” katanya.
Individu yang menerima topi keledar terbabit perlu mengimbas kod QR serta menunjukkan mereka mendapatnya secara percuma dan tidak akan didenda.
“Sekiranya penunggang ditangkap tidak pakai topi keledar untuk kali kedua, maka mereka perlu membayar denda,” katanya.
Trat bukan satu-satunya wilayah Thailand yang berusaha menggalakkan penunggang motosikal menggunakan topi keledar.
Tahun lalu, polis di Phuket mempergiatkan kempen ‘100 peratus pakai topi keledar’ di wilayah berkenaan.