ISTANBUL: Russia, Ukraine, Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bakal menandatangani satu perjanjian minggu depan, bertujuan menyambung semula eksport bijirin menerusi Laut Hitam.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyatakan rundingan damai untuk menamatkan perang Russia dan Ukraine masih jauh.
Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar, berkata perjanjian yang akan ditandatangani minggu depan termasuk kawalan bersama untuk memeriksa penghantaran di pelabuhan dan Turkiye akan memastikan keselamatan laluan eksport di Laut Hitam melalui Ukraine.
Turkiye juga akan menubuhkan pusat penyelarasan dengan Ukraine, Russia dan PBB untuk eksport bijirin.
“Semoga kita dapat mencapai persetujuan muktamad minggu depan dan optimis, namun ia belum selesai sepenuhnya,”.
“Kita melihat satu langkah kritikal ke hadapan. Lebih banyak kerja teknikal kini diperlukan untuk merealisasikan perkembangan hari ini, namun momentumnya jelas,” kata Guterres di New York.
Mengenai prospek rundingan damai untuk menamatkan perang di Ukraine, Guterres berkata, Moscow dan Kyiv menunjukkan mereka boleh terbabit antara satu sama lain, namun untuk keamanan, perjalanannya masih jauh.
Peperangan di Ukraine menyebabkan harga bijirin, minyak masak, bahan bakar dan baja melambung tinggi.
Pencerobohan dan sekatan laut Russia menghentikan eksport, menyebabkan puluhan kapal terkandas dan kira-kira 20 juta tan bijirin tersekat di Odesa.
Seorang pegawai kanan PBB yang enggan dikenali memberitahu, kebanyakan perkara penting dalam rundingan bagi menyambung semula eksport di Laut Hitam di Ukraine sudah ditangani dan menyifatkan perbincangan di Istanbul sebagai satu kejayaan.
Sebelum rundingan itu diadakan, diplomat memaklumkan butiran rancangan itu termasuk kapal Ukraine memandu arah kapal bijirin masuk dan keluar melalui perairan pelabuhan yang mempunyai periuk api.
Russia bersetuju dengan gencatan senjata sementara penghantaran dibuat dan Turkiye, yang disokong PBB, memeriksa kapal untuk meredakan kebimbangan Russia terhadap penyeludupan senjata. – REUTERS