Pangsapuri dan hotel di Odessa dibedil peluru berpandu, 17 maut - Utusan Malaysia

Pangsapuri dan hotel di Odessa dibedil peluru berpandu, 17 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan puluhan cedera dalam serangan peluru berpandu terhadap sebuah bangunan pangsapuri dan hotel di wilayah Odessa di selatan Ukraine, menurut jurucakap pentadbiran tentera Odessa, Sergei Bratchuk.

“Satu daripada peluru berpandu membedil sebuah bangunan di bandar Bilhorod-Dnistrovskyi, mengorbankan 14 orang awam selain mengakibatkan lebih 30 mangsa cedera dan mencetuskan kebakaran besar.

“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan.

“Satu lagi peluru berpandu mengenai sebuah hotel di pusat peranginan, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh termasuk seorang kanak-kanak selain seorang cedera,” kata Bratchuk.

Bratchuk merujuk kepada Operasi Komando Selatan tentera Ukraine, yang mendakwa serangan peluru berpandu itu berasal dari ‘pesawat strategik dari Laut Hitam.

“Satu peluru berpandu mengenai bangunan kediaman sembilan tingkat.

“Di sebuah bangunan pangsapuri, sembilan tingkat satu bahagian musnah sepenuhnya dan penyelamat memberi rawatan perubatan kepada tujuh yang cedera, termasuk tiga kanak-kanak,” katanya.

Serangan peluru berpandu terhadap bangunan kediaman itu berlaku beberapa hari selepas serangan Russia memusnahkan sebuah pusat beli-belah di Kremenchuk, di tengah Ukraine, mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang awam.

Presiden Russia, Vladimir Putin bagaimanapun menafikan tentera Moscow bertanggungjawab.

Wilayah selatan Odessa adalah lokasi strategik serangan Russia kerana ia menempatkan bandar pelabuhan bersejarah Ukraine yang juga dinamakan Odessa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN