FLORIDA: Seorang wanita yang menjalani gaya hidup vegetarian ekstrem didapati bersalah menyebabkan bayinya berusia 18 bulan mati kelaparan dengan tidak memberikan makanan selain buah-buahan dan sayur-sayuran mentah.
Lapor Metro, Sheila O’Leary, 39, dari Cape Coral disabitkan dengan kesalahan membunuh oleh juri mahkamah berhubung pertuduhan penderaan kanak-kanak yang dihadapinya membabitkan kes kematian Ezra O’Leary pada September 2019.
Ketua Unit Mangsa Khas di Pejabat Peguam Negara, Francine Donnorummo berkata, Ezra tidak diberi makanan malah mati akibat kelaparan selama 18 bulan.
“Dia membuat pilihan yang membunuh anaknya. Sikapnya meragut nyawa Ezra,” kata Donnorummo.
Berat Ezra dilaporkan hanya 7 kilogram (kg), purata berat bayi berusia tujuh bulan, apabila ibu bapanya mendapati anak lelaki mereka tidak bernafas.
Sebelum ini, Sheila dan suaminya, Ryan O’Leary memberitahu polis bahawa keluarganya mengamalkan diet ‘vegetarian’ dan hanya memakan buah dan sayur-sayuran.
Jelasnya, ibunya hanya memberi makanan vegetarian dan menyusukan anaknya tanpa memberikan makanan pejal selama seminggu sebelum meninggal dunia.
Laporan bedah siasat mendapati Ezra meninggal dunia akibat komplikasi yang berkaitan kekurangan zat makanan.
Pihak pendakwa raya menuduh Sheila gagal mendapatkan rawatan perubatan untuk Ezra apabila menyedari bayinya sakit.
Menurut pendakwa raya, apabila Ezra meninggal dunia, Ryan dan Sheila juga mengabaikan tiga anak yang lain berumur bawah 11 tahun.
Tarikh perbicaraan hukuman Sheila ditetapkan pada 25 Julai ini.
Ryan yang kini ditahan di Penjara Lee County, akan dibicarakan atas tuduhan yang sama dihadapi oleh isterinya.