KYIV: Bandar di timur Ukraine, Lysychansk menjadi rebutan antara pasukan tentera negara ini dengan Russia apabila kedua-duanya saling mendakwa mereka berjaya menguasai bandar tersebut.
Lapor BBC, Ukraine memaklumkan pasukan tenteranya memberikan saingan hebat kepada tentera Russia menyebabkan bandar itu tidak dapat dikuasai Moscow.
Namun, pasukan pemisah yang menyokong Russia memberitahu, mereka berjaya memasukan bandar berkenaan dan menguasai pusatnya.
Media Russia menunjukkan kumpulan pemisah pro-Russia memenuhi jalan di sekitar Lysychansk.
Sejumlah sumber juga menyatakan bendera Russia dikibarkan di pusat pentadbiran bandar tersebut yang ketika ini sudah musnah dibedil.
Namun, sumber berkenaan tidak dapat disahkan.
Lysychansk merupakan bandar terakhir yang dipertahankan oleh tentera Ukraine di Luhansk selepas Russia menguasai bandar Severodonetsk pada bulan lalu.
Gabenor Luhansk, Serhiy Haida berkata, tentera Russia mengepung bandar itu dari semua sudut.
Duta Luhansk ke Russia, Rodion Miroshnik pula memberitahu, Lysychansk sudah dikuasai tentera Moscow, namun ‘belum sepenuhnya’.
Selain itu, turut tersebar beberapa imej yang menunjukkan tentera Chechnya berada di bandar tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, landasan kereta api dan bekalan elektrik di utara bandar Kharkiv musnah dalam beberapa siri serangan, namun tiada kematian dilaporkan.