JAKARTA: Di sebatang jalan yang sibuk, sejumlah pengusaha warung kopi sibuk menyediakan juadah untuk para pelanggan yang memenuhi kedai mereka.
Jualannya hanya melibatkan mi segera dan kopi pracampuran, namun masih mendapat sambutan yang menggalakkan kerana mi segera merupakan satu daripada ‘makanan ruji’ penduduk Indonesia.
Agus Mulyadi, 42, sudah lapan tahun mengusahan warung kopi di Jakarta Selatan dan memberitahu, biarpun semua harga barangan naik, termasuk makanan, mi segera masih menjadi pilihan masyarakat untuk mengalas perut mereka.
“Ketika ini, semua barang harga naik, minyak masak, barang mentah, cili, bawang dan pelbagai lagi.
“Mi segera juga naik harga tapi masih mampu dibeli oleh masyarakat dan makanan itulah yang menjadi ‘penyambung hayat’ mereka setiap hari,” katanya.
Jelas Agus, kerajaan Indonesia tidak dapat mengelak untuk tidak menaikkan harga mis segera susulan peperangan yang berlaku di Ukraine kerana gandum merupakan bahan utama pembuatan makanan tersebut.
Indonesia juga menjadi pengimport gandum terbesar di dunia dengan suku daripadanya diimport dari Ukraine.
“Biarpun harga mi segera dalam pasaran naik, namun sebagai peniaga, saya takut untuk naikkan harga jualan kerana hanya makanan itu yang mampu dibeli masyarakat.
“Memang kami terpaksa menanggung kerugian kerana jual pada harga murah, namun pilihan itu lebih baik berbanding terus rugi dan tiada pelanggan yang datang ke warung,” ujarnya.
THAILAND
Dalam pada itu, situasi serupa turut berlaku di Thailand apabila rakyat negara itu juga semakin bergantung kepada mi segera untuk ‘meneruskan kehidupan’ ketika kos hidup semakin meningkat.
Berbanding tahun lalu, harga makanan di Thailand tahun ini meningkat 6.42 peratus dan dijangka terus melonjak dalam masa terdekat.
Namun, di sebalik kenaikan harga barang, kerajaan Thailand menolak cadangan pengeluar untuk menaikkan harga mi segera kerana menyifatkan makanan itu merupakan ‘barangan asas’ kepada masyarakat.
Pengusaha kedai mi segera, Ungkool Wongkolthoot turut berharap kerajaan dapat mengekalkan harga makanan itu dalam jangka panjang, bagi memberi faedah kepada masyarakat dan juga peniaga.
“Mi segera merupakan ‘rakan baik ketika hujung bulan’ jadi saya harap kerajaan dapat menggunakan mekanisme terbaik untuk kekalkan harga makanan itu.
“Peniaga memang mahu keuntungan, tapi pada masa yang sama, kami juga memikirkan sama ada masyarakat mampu membeli atau tidak.
“Jika kuasa beli menurun, kami juga tidak akan kaut keuntungan” luahnya. – CNA