MADRID: Kesatuan Sekerja menggesa Suruhanjaya Eropah melaksanakan had masa maksimum bagi individu yang bekerja di luar bangunan, selepas tiga kematian direkodkan di Madrid ketika waktu bekerja, minggu lalu.
Lapor AFP, kebanyakan negara tidak mempunyai had waktu bekerja ketika suhu panas ekstrem dengan hanya segelintir negara anggota sahaja mempunyai undang-undang tersebut.
Berdasarkan kajian oleh agensi pengundian Eurofound, sebanyak 23 peratus daripada semua golongan pekerja di EU terdedah kepada suhu tinggi bagi tempoh seperempat masa.
Angka itu meningkat 36 peratus dalam sektor pertanian dan industri, manakala 38 peratus bagi buruh binaan.
Penyelidikan sebelum ini mendapati suhu tinggi menyebabkan beberapa keadaan kronik dan peningkatan risiko kecederaan di tempat kerja.
Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Kesatuan Sekerja Eropah (ETUC), Claes Mikael Stahl berkata, golongan pekerja di barisan hadapan merasakan krisis perubahan iklim setiap hari dan mereka memerlukan perlindungan menyesuaikan diri dengan bahaya yang semakin meningkat akibat suhu ekstrem.
“Kebanyakan negara EU tidak mempunyai undang-undang suhu maksimum di tempat kerja, walaupun Hungary, Belgium dan Latvia mempunyai beberapa sekatan terhadap aktiviti tertentu.
“Di Perancis yang tidak mempunyai had masa bekerja bagi suhu tertentu menyebabkan 12 pekerja maut akibat terdedah dengan strok haba pada 2020.
“Sepanyol pula melaksanakan had bekerja dalam suhu tertentu, tetapi hanya melibatkan profesion tertentu sahaja,” katanya.
Sabtu lalu, seorang pencuci jalan berusia 60 tahun maut selepas pengsan akibat strok haba ketika bekerja di Madrid dengan suhu mencecah 40 darjah Celcius.
Hari sama, pekerja gudang berusia 56 tahun maut di bandar sama selepas menderita strok haba ketika bekerja.-AFP