YANGON: Junta Myanmar melaksanakan hukuman mati terhadap empat tahanan termasuk seorang bekas ahli Parlimen dari parti pimpinan Aung San Suu Kyi dan seorang aktivis terkemuka, lapor media kerajaan.
Hukuman mati itu merupakan kali pertama dilaksanakan di negara itu dalam tempoh beberapa dekad.
Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan kempat-empat individu itu dihukum mati atas kesalahan mengetuai `tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan’.
Jelas laporan itu, hukuman mati dijalankan `mengikut prosedur penjara’ tanpa mengemukakan butiran lanjut termasuk tarikh dan bagaimana mereka dibunuh.
Junta sebelum ini menjatuhkan hukuman mati ke atas puluhan aktivis sebagai sebahagian tindakan kekerasan terhadap pembangkang selepas rampasan kuasa tahun lalu.
Sedangkan, Myanmar sudah tidak melaksanakan hukuman mati selama beberapa dekad lalu.
Bekas Ahli Parlimen dari parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), Phyo Zeya Thaw yang ditahan pada November, dijatuhkan hukuman mati pada Januari bagi kesalahan di bawah undang-undang anti-keganasan.
Aktivis demokrasi, Kyaw Min Yu atau lebih dikenali sebagai `Jimmy’ turut menerima hukuman sama daripada tribunal tentera.
Dua lelaki lain dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh seorang wanita yang mereka dakwa sebagai pemberi maklumat untuk junta di Yangon.
Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa tahun lalu, dengan protes merebak ke seluruh negara. – AFP