EU luluskan pelan kecemasan kurangkan penggunaan gas    - Utusan Malaysia

EU luluskan pelan kecemasan kurangkan penggunaan gas   

LOJI perindustrian saluran paip Nord Stream 1 Laut Baltik berhampiran Lubmin, timur laut Jerman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bersiap sedia menghadapi sekatan bekalan gas oleh Russia setelah meluluskan pelan kecemasan untuk mengekang permintaan bahan api itu.  

Negara EU mencapai persetujuan itu dengan menandatangani perjanjian bagi mengehadkan penggunaan gas secara sukarela sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan bahan api.

Russia mula menyekat gas ke Eropah bermula semalam selepas Gazprom memaklumkan syarikatnya akan memotong penghantaran gas menerusi saluran paip Nord Stream 1 ke Jerman kepada satu perlima daripada kapasiti saluran paip tersebut. 

Dilaporkan, kebanyakan negara EU berdepan dengan pengurangan bekalan gas dari Russia.

Justeru, Brussel menggesa negara anggota untuk menjimatkan gas dan menyimpannya untuk musim sejuk kerana bimbang Russia akan menghentikan bekalan sepenuhnya sebagai tindak balas terhadap sekatan Barat berikutan pencerobohan Moscow di Ukraine. 

Menteri-menteri tenaga meluluskan cadangan yang membolehkan semua negara EU secara sukarela mengurangkan penggunaan gas sebanyak 15 peratus dari Ogos 2022 hingga Mac 2023.

Pengurangan itu boleh dilakukan menerusi perjanjian pelan kecemasan dengan syarat majoriti negara EU menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian.

Namun, negara anggota juga bersetuju untuk mengecualikan beberapa industri daripada mematuhi syarat pengurangan 15 peratus itu.

* EROPAH KEKAL BERSATU 

Menteri Ekonomi Jerman, Robert Habeck berkata, perjanjian itu secara tidak langsung akan menunjukkan kepada Presiden Vladimir Putin bahawa Eropah kekal bersatu dalam menghadapi sekatan gas terbaharu ini.

Bagaimanapun, dua pegawai EU mendakwa Hungary merupakan satu-satunya negara yang menentang perjanjian tersebut. 

* PERANG GAS 

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam dan menyifatkan tindakan Russia menyekat bekalan gas hanya untuk melancarkan `perang gas’ terhadap Eropah.  

“Dengan menggunakan Gazprom, Moscow melakukan segala yang termampu agar negara-negara Eropah menderita ketika musim sejuk akan datang.

“Oleh itu, Eropah perlu bertindak balas terhadap perang gas ini dengan meningkatkan lagi sekatan ke atas Moscow,” katanya semasa ucapan harian disiarkan dalam satu video.

Gazprom memberi alasan bahawa pengurangan terbaharu itu disebabkan mengalami masalah teknikal melibatkan enjin.

Namun, Ketua Tenaga EU, Kadri Simson menolak alasan itu dan menyifatkan langkah itu `bermotifkan politik’.

Simson turut berpandangan perjanjian itu harus memastikan negara mampu menjimatkan gas yang mencukupi untuk bertahan ketika musim sejuk sekiranya Russia menghentikan bekalan dengan sepenuhnya.   

Russia sebelum ini membekalkan sebanyak 40 peratus gas kepada EU sebelum menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu.

* PENJIMATAN

Perjanjian EU akan mengecualikan daripada pengurangan 15 peratus bekalan gas kepada Ireland, Malta dan Cyprus.  

Negara-negara ini tidak disambungkan ke rangkaian gas negara EU lain, justeru, tidak boleh berkongsi bekalan bahan api itu sekiranya diperlukan. 

Negara yang mempunyai keupayaan terhad untuk mengeksport gas ke negara EU lain boleh meminta sasaran lebih rendah, dengan syarat mengeksport sedaya yang mampu. – REUTERS  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN