JAKARTA: Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati menjelaskan situasi ekonomi di Indonesia tidak akan menjadi seteruk Sri Lanka kerana negara ini memiliki ketahanan lebih baik sehingga mampu mencegah risiko muflis.
Beliau berkata, seluruh dunia ketika ini mengalami tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta situasi geopolitik di Rusia-Ukraine yang memberi kesan terhadap lonjakan harga komoditi tenaga dan bahan makanan.
“Seluruh dunia menghadapi kesan dari geopolitik dalam bentuk kenaikan harga bahan-bahan makanan serta tenaga yang mendorong inflasi lebih tinggi. Malah, negara maju mengalami inflasi tinggi yang kebiasaannya hanya mengalami deflasi.
“Lonjakan inflasi akhirnya membuatkan sesebuah negara mengambil dasar antisipatif, tetapi tidak semua negara yang mempunyai daya tahan mencukupi dalam menghadapi situasi ketidaktentuan global,” katanya lapor Kompas.com.
Sri Mulyani berkata, kelemahan ekonomi boleh dilihat daripada pelbagai faktor di sesetengah negara jika keadaan awal tidak kukuh terutamanya selepas dua tahun selepas pandemik Covid-19 seperti kadar pertukaran mata wang asing dan rizab negara.
Katanya, faktor ketahanan ekonomi juga berbeza mengikut negara seperti kenaikan harga makanan dan tenaga serta situasi ekonomi yang belum sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.
“Jadi kalau mereka mengalami gangguan akibat pandemik serta ditambah masalah inflasi, ia akan menimbulkan kesukaran terhadap sesebuah negara.
“Faktor lain yang mempengaruhi ekonomi sesebuah negara adalah polisi monetari dan fiskal termasuk hutang kerajaan atau swasta serta keupayaan untuk membayar balik pinjaman,” jelasnya.
Berdasarkan indikator tersebut, Sri Mulyani menilai keadaan ekonomi Indonesia ketika ini berada dalam keadaan yang cukup baik.
Jelasnya, risiko kemelesetan ekonomi yang dialami Indonesia hanya sebesar tiga peratus berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Bloomberg.
Keadaan itu jauh lebih baik jika dibandingkan negara lain yang memiliki potensi kemelesetan ekonomi lebih 70 peratus.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya Lembaga Perkhidmatan Kewangan, Wimboh Santoso berkata, kadar inflasi di Indonesia dijangka meningkat lagi yang sudah mencecah 4.35 peratus.
“Cabaran pada masa depan bukan lagi senang. Presiden negara malah mengingatkan akan berlaku hiperinflasi, harga tenaga dan beberapa barangan komoditi meningkat.
“Cepat atau lambat inflasi di negara ini pasti akan naik,” katanya.
Menurut Wimboh, keadaan tersebut perlu ditangani segera dengan tindakan yang tepat dan polisi yang bersesuaian.