BEIJING: China berusaha menangani cuaca panas melampau yang melanda negara itu ketika hampir 70 bandar mengeluarkan amaran gelombang haba tahap merah.
Amaran merah itu merupakan tahap tertinggi dalam sistem gelombang haba ketika suhu meningkat kepada 40 darjah Celsius pada minggu ini.
Di Shanghai, pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya bersedia menghadapi cuaca panas dan risiko akibat strok haba.
Petugas kesihatan yang mengenakan pakaian pelindung diri atau hazmat dikesan di luar pusat saringan di luar bandar sambil merehatkan kaki atas bongkah ais ketika ujian saringan besar-besaran dijalankan.
Suhu bandar sudah mencecah 40 darjah Celsius pada Ahad lalu dan ia dijangka meningkat pada minggu ini.
Shanghai pernah mengalami suhu melebihi 40 darjah Celsius selama 15 hari sejak rekod bermula pada 1873. – AGENSI