LONDON: Boris Johnson didakwa mahu ‘menarik balik’ peletakan jawatannya dan kekal menjadi Perdana Menteri Britain.
Dakwaan itu dibuat oleh seorang sekutu pemimpin itu ketika khabar angin mengenai hasrat Johnson berkenaan bertiup kencang.
Memetik laporan Daily Mail, Lord Cruddas dari Shoreditch mendakwa Johnson ‘tidak mahu’ melepaskan jawatannya dan berharap agar dapat terus menjadi pemimpin nombor satu negara itu.
Beliau yang juga merupakan bekas bendahari Parti Konservatif turut menjalankan kempen menolak peletakan jawatan Johnson.
Lord Cruddas mendakwa petisyen itu berjaya mengumpul kira-kira 10,000 tandatangan setakat ini dan dijangka meraih lebih banyak sokongan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, jurucakap Downing Street menegaskan Johnson sudah meletak jawatan sebagai pemimpin parti dan menyatakan hasrat berundur daripada jawatan perdana menteri sehingga pengganti baharu dipilih.
“Tiada kekeliruan dalam pandangan Johnson. Sudah tentu beliau tidak mahu meletak jawatan. Johnson mahu teruskan dan beliau percaya boleh lakukannya dengan sokongan ahli partinya,” kata Lord Cruddas.
Menurut Lord Cruddas, Johnson juga mengucapkan terima kasih kepadanya atas penganjuran kempen ‘Boris on the ballot’.
Katanya, Johnson mengakui berasa ‘seronok’ mengikuti perkembangan kempen tersebut.
“Johnson memberitahu beliau sedar kemarahan ahli parti terhadap apa yang berlaku.
“Beliau juga berharap agar terus menjadi perdana menteri agar dapat memulihkan semua masalah yang timbul dan untuk itu, beliau harus mengekalkan kedudukannya.
“Johnson mahu menghapuskan segala-gala yang menghalangnya daripada menjadi perdana menteri,” ujarnya.
Tambah Lord Cruddas, Johnson mahu terus memegang jawatan itu sehingga tamat tempoh penggalnya dan bukannya sehingga penggantinya dipilih pada September ini.
“Beliau mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sebagai pemimpin Parti Konservatif,” jelasnya.
Isu itu timbul selepas seorang menteri kanan menyatakan berasa ‘selesa’ dengan Johnson kembali semula ke kerajaan selepas berundur dari Downing Street.
Bagaimanapun, menteri dan ahli Parlimen Tory lain menegaskan Johnson tidak harus kembali lagi dan parti harus melangkah ke hadapan.
Johnson dijangka berundur pada 6 September depan namun setakat ini pemimpin itu masih berdiam diri mengenai rancangan seterusnya.
Rishi Sunak dan Liz Truss merupakan dua calon terakhir dari Parti Konservatif merebut jawatan Perdana Menteri Britain.
NAFI MAHU KEKAL DALAM KABINET
Sementara itu, Truss menolak dakwaan kononnya Johnson mahu kekal dalam Kabinet atau membuat kemunculan semula sebagai perdana menteri.
Ketika diminta mengulas sama ada beliau mahu Johnson turut berada dalam barisan kepimpinan tertingginya, Truss menegaskan bahawa ‘tiada apa boleh dilakukan memandangkan keputusan sudah dibuat’.
Malah, Truss berkata, pemimpin itu juga akan mengambil ‘rehat yang sepatutnya’ setimpal dengan segala usaha dilakukan selama ini.
“Setelah menghabiskan masa bersama beliau berhubung urusan luar negara pada minggu ini, saya percaya pemimpin itu tidak mahu jawatan dalam kerajaan.
“Saya rasa beliau memerlukan rehat yang sewajarnya selepas melalui pelbagai masalah sejak beberapa tahun yang sukar,” kata Truss.