RIYADH: Hari pertama Aidiladha di kebanyakan negara Arab dan Islam akan disambut 9 Julai ini, termasuk di Arab Saudi.
Mahkamah Agung Arab Saudi menetapkan perayaan itu selepas anak bulan dapat dilihat di Balai Cerap Tamir.
Saudi Gazette melaporkan, Hari Arafah yang juga kemuncak ibadah haji ditetapkan pada Jumaat bersamaan 8 Julai.
Hari Arafah adalah waktu bagi jemaah haji melaksanakan wukuf di Arafah, bermula dari terbenam matahari sehingga terbit fajar pada tanggal 10 Zulhijjah.
Bagi umat Islam yang tidak melaksanakan haji, mereka disunatkan melaksanakan Puasa Arafah pada 9 Zulhijjah.
Sementara itu, beberapa negara di Asia Tenggara pula mula meraikan Hari Raya Korban sehari kemudian.
Malaysia, Indonesia dan Brunei masing-masing mengumumkan Aidiladha pada 10 Julai (Ahad) memandangkan tidak melihat anak bulan Zulhijjah, petang kelmarin.