WELLINGTON: Syarikat penerbangan Air New Zealand memperkenalkan lapan pesawat Boeing 787-9 Dreamliners baharu, yang bakal memulakan operasi pada 2024.
Memetik laporan Daily Mail, pesawat berkenaan menampilkan antara ciri terbaharu iaitu konsep Skynest bagi penumpang kelas ekonomi.
Konsep Skynest membabitkan ruang tidur mendatar di kabin kelas ekonomi yang dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah sukar berehat atau tidur pada posisi duduk dalam penerbangan jarak jauh.
“Skynest akan menjadi pod tidur pesawat yang pertama di dunia bagi penumpang kelas ekonomi,” jelas laporan itu.
Menurut laporan, setiap pesawat Dreamliners itu akan menampilkan enam pod tidur mendatar, dilengkapi dengan bantal, selimut dan tempat pengecas USB di bahagian kelas ekonomi.
Penumpang hanya boleh menempah slot selama empat jam pada satu masa ketika melakukan penerbangan jarak jauh.
“Setelah selesai, anak kapal akan menukar cadar dan membenarkan penumpang seterusnya memasuki ruangan itu untuk berehat.
“Ketika ini, kos tersebut masih belum didedahkan,” jelas laporan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Air New Zealand, Greg Foran berkata, konsep Skynest pertama kali diumumkan pada tahun 2020.
“Kami mahu menawarkan keselesaan kepada penumpang kelas ekonomi.
“Sudah tentu ia bakal menjadi game changer bagi pengalaman penerbangan penumpang kelas ekonomi,” katanya.
Sementara itu, pesawat tersebut juga akan menawarkan ciri baharu lain seperti ruang duduk suite Business Premier Luxe dan Business Premier.