BANGKOK: Hasrat tiga pelancong warga Thailand yang merancang untuk memasuki Malaysia pada hujung minggu ini menerusi Satun tidak kesampaian apabila ujian air kencing mereka positif ganja.
Perkara itu menyebabkan ketiga-tiganya dikenakan denda sebanyak 50,000 baht (RM6,113) dan penjara selama tiga hari oleh pihak berkuasa Malaysia.
Lapor thethaiger, ketika kejadian, ketiga-tiga pelancong itu ditahan di pos pemeriksaan sempadan dan air kencing mereka diuji.
Penggunaan ganja di Malaysia hanya dibenarkan untuk perubatan.
Penggunaan dadah itu untuk rekreasi melanggar undang-undang narkotik negara tersebut yang boleh membawa hukuman mati dan penjara.
Selepas kerajaan Thailand membenarkan penggunaan ganja secara terbuka, banyak negara menzahirkan kebimbangan.
Kebanyakan negara menasihatkan rakyat mereka supaya tidak membawa pulang ganja yang diperoleh di Thailand atau mereka berdepan tindakan undang-undang.