OUAGADOUGOU: Sekurang-kurangnya 34 orang maut dalam dua serangan berasingan di perkampungan di Burkina Faso pada hujung minggu lalu.
Menurut Gabenor Wilayah Boucle du Mouhoun, Babo Pierre Bassinga, seramai 22 orang termasuk kanak-kanak terbunuh di Bourasso di wilayah Kossi, barat laut negara itu.
“Sekumpulan lelaki bersenjata bergerak sekitar kampung itu kira-kira pukul 5 petang dan melepaskan tembakan ke udara.
“Mereka kemudian kembali semula pada waktu malam dan melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai,” kata seorang sumber keselamatan.
Seorang lagi sumber keselamatan memberitahu seramai 12 orang maut dalam serangan di Namissiguima di wilayah Yatenga di utara Burkina Faso.
Tiga daripada mangsa maut merupakan anggota militia awam, Sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP) iaitu pasukan bantuan yang ditubuhkan pada Disember 2019 untuk menyokong tentera.
Burkina Faso, salah satu negara termiskin di dunia, bergelut dengan pemberontakan yang melanda dari negara jiran, Mali pada 2015.
Burkina Faso mengalami rampasan kuasa pada Januari lalu selepas presiden yang dipilih, Roch Marc Christian Kabore digulingkan. – AFP