WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menganggarkan kira-kira 15,000 tentera Russia terbunuh dan 45,000 lagi cedera sepanjang operasi ketenteraan di Ukraine.
Lapor Al Jazeera, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns pada masa sama memberi amaran Kyiv juga mengalami kerugian yang besar.
“Anggaran terkini dari perisikan AS menunjukkan kira-kira 15,000 tentera Russia terbunuh dan bilangan cedera mungkin tiga kali ganda daripada jumlah itu. Jadi ia merupakan kerugian yang agak ketara.
“Ukraine juga berdepan keadaan sama, mungkin sedikit kurang daripada itu, namun angka korban tetap ketara,” katanya dalam Forum Keselamatan Aspen di Colorado.
Sementara itu, gabenor Pavlo Kyrylenko memaklumkan beberapa bandar di Donetsk dibedil tentera Russia sehingga memusnahkan bangunan di wilayah tersebut.
Kata Kyrylenko, dua sekolah musnah dalam serangan di bandar Kramatorsk dan Kostiantynivka.
“Tentera Russia menyebabkan kerosakan besar di Bakhmut, bahagian tengah bandar itu sekali lagi dibedil.
“Sebuah roket tentera Russia terhempas di halaman kediaman di Toretsk,” katanya sambil menambah tiada maklumat mengenai laporan kemalangan jiwa.