BEIJING: Seramai 10 orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera semalam dalam kejadian runtuhan di bahagian pergunungan lombong arang batu di China.
Lapor media tempatan, insiden itu berlaku sekitar 11.15 pagi waktu tempatan di wilayah barat laut Gansu dengan operasi menyelamat kini sudah berakhir.
Seramai 17 orang turut dilaporkan terperangkap dalam insiden itu, namun berjaya diselamatkan.
Menurut laporan akhir yang dikeluarkan petang semalam selepas penemuan mayat terakhir, seramai 10 orang disahkan maut dan tujuh lagi cedera ringan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Kemalangan di kawasan perlombongan kerap berlaku di China, menyaksikan industri itu mempunyai rekod keselamatan yang buruk, selain penguatkuasaan peraturan lemah.
Bagaimanapun, tahap keselamatan dilaporkan bertambah baik dalam beberapa dekad kebelakangan ini, begitu juga dengan liputan media mengenai insiden besar, yang kebanyakannya sering diabaikan.
Pada September lalu, 19 pelombong terkandas di bawah tanah selepas lombong arang batu runtuh di wilayah Qinghai, di barat laut negara itu.
Kesemuanya ditemukan mati selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan dalam tempoh lama.
Tiga bulan kemudian di utara wilayah Shanxi, ratusan penyelamat dihantar ke lombong arang batu yang ditenggelami air, bagi menyelamatkan pelombong yang terperangkap, menyaksikan 20 pelombong diselamatkan dan dua maut. – AFP