CIUDAD VICTORIA: Seorang wartawan berusia 47 tahun maut ditembak di negeri Tamaulipas, timur laut Mexico.
Kematian Antonio de la Cruz menjadikan jumlah wartawan yang terbunuh di Mexico meningkat kepada 12 orang pada tahun ini.
De La Cruz yang bekerja di akhbar Expreso, dikenali sebagai individu yang lantang mengkritik dakwaan rasuah dalam kalangan ahli politik menerusi hantaran di media sosial.
Wartawan itu ditembak di hadapan rumahnya di Ciudad Victoria.
Isteri dan anak perempuan de la Cruz turut cedera dalam serangan tersebut.
“Kita tidak harus membenarkan serangan demikian berlaku terhadap wartawan dan aktivis lagi.
“Pihak yang bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada hukuman,” kata jurucakap kepada Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, Jesus Ramirez.
Sementara itu, akhbar Expreso menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kematian De La Cruz.
“Kami mahu keadilan daripada pihak berkuasa di semua peringkat,” jelas agensi itu. – AFP