JAKARTA: Seramai tiga jemaah haji negara ini dilaporkan meninggal dunia di Arab Saudi, lapor CNN Indonesia.
Kementerian Agama memaklumkan jemaah itu ialah Bawuk Karso Samirun, 58, berasal dari Surabaya, Suhati Rahmat Ali H. Rahmat, 64 dan Bangun Lubis Wahid, 59.
Jurucakap Badan Penyelenggara Haji Arab Saudi, Akhmad Fauzin berkata, pihak kementerian akan memastikan badal haji diberikan kepada jemaah Indonesia yang meninggal dunia ketika menunaikan ibadah tersebut.
Selain itu, Akhmad berkata, terdapat 49 jemaah haji berasal dari Indonesia ditimpa sakit, dan daripada jumlah itu, 43 daripadanya dirawat sebagai pesakit luar.
Jelasnya, enam individu lain dirawat di Klinik Kesihatan Haji Indonesia di Madinah.
Dalam pada itu, Fauzin berkata, proses pelepasan jemaah haji bagi kumpulan pertama ke Madinah masih berjalan.
Sehingga kini, seramai 25,929 jemaah haji direkodkan sudah berlepas ke Madinah.
Pihak kementerian turut memaklumkan sudah menyediakan pelbagai kemudahan kepada jemaah haji Indonesia di Mekah.
Jelasnya, sebanyak lima hotel disediakan iaitu di Misfalah, Mahbas Jin, Raudhah dan Shisyah.
Hotel di Jarwal mempunyai jarak 850 meter dengan Masjidil Haram berbanding hotel lain yang mempunyai jarak antara dua hingga empat kilometer.










