SANTIAGO: Seorang pekerja yang tidak sengaja dibayar gaji 286 kali ganda lebih tinggi daripada yang sepatutnya dilaporkan berhenti dan hilang tanpa jejak selepas berjanji untuk memulangkan semula semua wang berkenaan kepada syarikat tempatnya bekerja.
Bahagian sumber manusia di syarikat daging potong terbesar Chile, Consorcio Industrial de Alimentos (Cial), secara tidak sengaja membayar gaji kepada pekerja tersebut sebanyak AS$180,000 (RM792,003) sedangkan gaji yang sepatutnya diterima adalah AS$542 (RM2,384).
Selepas kejadian itu, pekerja berkenaan pada mulanya bersetuju untuk memulangkan semula lebihan wang tersebut, namun sehingga kini, hanya tinggal khabar.
Malah, pekerja itu turut meletak jawatan dan menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.
Syarikat itu juga memaklumkan, sebelum menghilangkan diri, pekerja itu sering memberikan pelbagai alasan setiap kali diarahkan untuk memulangkan semula lebihan wang tersebut.
Sehubungan itu, syarikat terbabit membuat laporan polis dan menyaman pekerja berkenaan atas insiden yang berlaku.
Syarikat itu berharap mereka masih dapat menemukan semula lebihan wang berkenaan bagi menutup kerugian yang dialami.