COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka mahu golongan petani menanam lebih banyak padi sebagai sebahagian daripada rancangan menangani krisis bekalan makanan yang kian meruncing.
Pakar memberi amaran sebanyak 50 peratus bekalan makananan akan berkurangan yang boleh memburukkan lagi keadaan akibat krisis kewangan negara.
Pensyarah pertanian di Universiti Peradeniya, Prof. Buddhi Marambe berkata, beberapa kawasan akan kehilangan lebih 50 peratus hasil padi walaupun tindakan sudah diambil.
“Walaupun kita membawa baja hari ini, sudah terlambat untuk menuai padi yang baik,” katanya.
Menteri Pertanian, Mahinda Amaraweera berkata, pihaknya merayu kepada semua golongan petani untuk turun ke sawah dalam tempoh lima ke sepuluh hari akan datang.
Jelasnya, krisis bekalan makanan sudah semakin teruk di Sri Lanka sejak lebih tujuh dekad lalu.
Perdana Menteri Sri Lanka baharu, Ranil Wickremesinghe memberi amaran tentang kekurangan makanan yang teruk menjelang Ogos dan menganggarkan AS$600 juta akan diperlukan untuk mengimport bekalan baja.
Kebanyakan bekalan baja akan tiba lambat bagi kitaran penanaman seterusnya yang bermula awal Jun.
Pakar memberi amaran kuantiti baja tidak akan mencukupi bagi dua musim akan datang bagi memenuhi keperluan nutrien tanaman utama padi, teh dan jagung.-REUTERS