Serangan China ke atas Taiwan jejas perdagangan global - Utusan Malaysia

Serangan China ke atas Taiwan jejas perdagangan global

JOHN Deng. - CNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Serangan tentera China ke atas Taiwan dikhuatiri boleh memberi kesan lebih besar terhadap aliran perdagangan dunia berbanding perang di Ukraine.

Amaran itu dibuat oleh Ketua Perunding Perdagangan Taiwan, John Deng yang menegaskan ancaman republik itu akan mengakibatkan bekalan cip semikonduktor berkurangan.

Menurut Deng, sekiranya China menyerang Taiwan, situasi boleh bertambah buruk sekali gus kebergantungan dunia terhadap Taipei untuk bekalan cip digunakan dalam kenderaan elektrik dan
telefon bimbit akan terjejas.

“Gangguan pada rantaian bekalan dan jumlah tempahan antarabangsa serta peluang industri itu berkembang akan menjadi jauh lebih penting berbanding hari ini.

“Situasi ini boleh menyebabkan kekurangan bekalan cip berlaku di seluruh dunia,” katanya dalam satu wawancara bersama Reuters di luar mesyuarat menteri-menteri Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) di Geneva.

Pencerobohan Russia di Ukraine sejak 24 Februari lalu mencetuskan kenaikan harga komoditi dan larangan eksport makanan sehingga membawa kebimbangan berlakunya kebuluran di negara-negara miskin.

Setakat ini, kerajaan Taiwan tidak melaporkan sebarang tanda-tanda serangan dari China.

Bagaimanapun, Taipei mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan kesiapsiagaan sejak
perang Ukraine bermula.

Data menunjukkan Taiwan menguasai pasaran global untuk pengeluaran cip paling canggih dan eksport produk itu bernilai AS$118 bilion (RM521.6 bilion), tahun lalu.

Beliau juga berharap dapat mengurangkan 40 peratus eksport produk itu ke China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN