LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menyifatkan keputusan usul undi tidak percaya terhadap dirinya sebagai suatu ‘penentuan yang meyakinkan’.
Katanya, ia bermakna ‘sebagai kerajaan pihaknya boleh mengorak langkah dan memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting.
“Kami kini boleh menumpukan untuk membantu orang ramai antaranya kos sara hidup, menangani pandemik Covid-19 dan keselamatan.
“Ia memberi peluang kepada kami untuk terus bersatu, meningkatkan tahap dan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.
Johnson `terselamat’ daripada usul undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen, Isnin lalu.
Namun, bantahan dalam kalangan ahli Parti Konservatif berhubung skandal partygate dilihat memberi tamparan kepada pemerintahan Johnson sekali gus menyebabkan pemimpin itu bergelut untuk memenangi kembali sokongan.
Dalam pengundian itu, seramai 211 daripada 359 ahli Parlimen menyokong beliau untuk terus mengemudi kerajaan, sementara 148 lagi menentang.
Perincian undi tersebut diumumkan oleh Pengerusi Kumpulan Parlimen Parti Konservatif, Jawatankuasa 1922, Graham Brady.
Usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Johnson tercetus selepas sejumlah ahli Parlimen menyerahkan surat tidak percaya kepada Brady mencecah 54, atau 15 peratus anggota Konservatif.
Johnson berhadapan kritikan selepas beliau dan kakitangannya menganjurkan beberapa parti sosial di pejabat dan kediamannya di Downing Street ketika Britain melaksanakan perintah berkurung untuk menangani pandemik Covid-19.
Pengundian itu merupakan tamparan hebat kepada Johnson dengan 41 peratus ahli Parlimen membuang undi menentang kepemimpinannya selepas beberapa skandal dan fitnah menimbulkan keraguan terhadap kewibawaannya untuk mentadbir Britain.
Situasi itu turut menjatuhkan kedudukan pemimpin tertinggi itu dalam kalangan orang ramai.
Sebanyak 59 peratus undian diperoleh Johnson adalah kurang berbanding 63 peratus yang diterima oleh Perdana Menteri terdahulu, Theresa May pada usul undi tidak percaya yang diadakan Disember 2018.
KEPUTUSAN TERUK
Beberapa penggubal undang-undang menganggap undian memihak kepada Johnson berbanding 148 yang membantahnya dalam pengundian itu, adalah suatu keputusan teruk daripada dijangka bagi seorang pemimpin yang memegang jawatan nombor satu negara.
“Johnson mungkin berasa lega dengan keputusan undian itu, namun beliau juga sedar keutamaan seterusnya adalah membina semula perpaduan parti.
“Saya pasti beliau akan berdepan cabaran,” kata bekas menteri, David Jones.
Seorang ahli Parlimen dari parti pemerintah Konservatif menyifatkan keputusan itu jelas menunjukkan lebih teruk berbanding jangkaan orang ramai.
“Namun, masih terlalu awal untuk menyatakan apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.
PENANGGUHAN
Dengan meraih sokongan dalam undi tersebut, Johnson berjaya memperoleh penangguhan selama 12 bulan sekali gus menghalang mana-mana ahli Parlimen membawa satu lagi usul bagi mencabar beliau.
Kemenangan itu juga menjamin kedudukannya sebagai Perdana Menteri Britain.
PILIHAN RAYA MENGEJUT
Sementara itu, Johnson berkata, beliau tidak berminat untuk mengadakan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat.
Sebelum ini, beberapa pihak berpandangan pemimpin itu akan mengadakan pilihan raya mengejut sebagai langkah untuk mengukuhkan semula kuasanya.
“Saya tidak berminat langsung untuk mengadakan pilihan raya mengejut. Ketika ini, saya hanya mahu melakukan yang terbaik untuk rakyat negara ini,” katanya. – REUTERS/AGENSI