HONG KONG: Restoran terapung terkenal Hong Kong yang sebelum ini pernah menjadi struktur ikonik di wilayah ini dilaporkan tenggelam di Laut China Selatan akibat ‘sebab yang tidak dinyatakan’.
Syarikat yang menguruskan restoran Jumbo itu, Aberdeen Restaurant Enterprises menerusi kenyataan mengumumkan, ia tenggelam di Kepulauan Paracel kelmarin.
“Kedalaman air di lokasi kejadian melebihi 1,000 meter, sekali gus menjadikan operasi menyelamat sukar dilakukan.
“Kami berasa sedih dengan insiden yang berlaku, namun bersyukur kerana tiada anak kapal cedera,” jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, kumpulan jurutera marin diupah untuk memeriksa keadaan restoran terapung itu sebelum ditunda ke lautan menuju lokasi baharu.
Restoran tersebut ditutup pada Mac 2020 akibat pandemik Covid-19, selain mengalami masalah kewangan.
Pengendalinya, Melco International Development pada bulan lalu memaklumkan, perniagaan Jumbo tidak mendatangkan keuntungan sejak 2013 dan nilai kerugian kumulatif sudah melebihi HK$100 juta (RM56 juta).
Selain itu, menjelang penamatan lesen operasinya pada bulan ini, Jumbo akan meninggalkan Hong Kong dan menunggu pengendali baharu untuk menguruskannya di lokasi yang tidak dimaklumkan.
Restoran terapung itu berlepas dari selatan Hong Kong pada Selasa lalu sebelum tenggelam.
Insiden yang menimpa kapal itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada penduduk Hong Kong yang kebanyakannya pernah menjejakkan kaki di dalam restoran mewah tersebut. – AFP