Rakyat Ukraine tidak mahu krisis kebuluran era Stalin berulang

Rakyat Ukraine tidak mahu krisis kebuluran era Stalin berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHEREMUSHNA, Ukraine: Bagi Maria Goncharova yang terselamat semasa krisis kebuluran yang melanda Ukraine pada 1930-an, pencerobohan Russia ke negara ini mencetuskan ketakutan kepadanya jika situasi sama berulang.

Goncharova, 93, pernah melalui krisis kebuluran paling teruk semasa era Stalin yang menyaksikan semua bekalan makanan dirampas menyebabkan rakyat ‘mati perlahan-lahan akibat kelaparan’.

Sejak Russia melancarkan perang, Goncharova yang masih bertahan di kediamannya di selatan Kharkiv memberitahu, dia hanya ‘berserah kepada tuhan’ mengenai nasibnya.

“Saya dan keluarga bertahan dengan memasak kentang dan tepung setiap hari.

“Kami cuba mencatu bekalan makanan sebaik mungkin supaya kami tidak kebuluran, saya tidak mahu peristiwa pahit yang berlaku ketika era Stalin berulang kembali. Cukuplah pada waktu itu sahaja,” katanya.

‘HOLODOMOR’

Dikenali sebagai ‘Holodomor’ yang merujuk kepada krisis kebuluran di Ukraine pada tahun 1932 hingga 1933 sen, Kyiv menyifatkannya sebagai ‘era pembunuhan beramai-ramai oleh Joseph Stalin’.

“Makanan digunakan oleh pihak berkuasa Soviet untuk mencapai objektif mereka dengan membunuh mana-mana rakyat yang menentang secara besar-besaran.

“Holodomor juga sudah lama menjadi titik penting dalam hubungan antara Russia dan Ukraine,” kata pakar sejarah, Lyudmyla Grynevych.

Konflik yang berlaku ketika ini hanya mencetuskan ketakutan kepada pelbagai pihak bahawa ‘sejarah hitam yang memeritkan’ itu berkemungkinan boleh berulang.

Ketakutan itu ditambah dengan dakwaan Russia mencuri bekalan bijirin Ukraine dan menyekat kegiatan eksport.

Tindakan itu menyebabkan Moscow dituduh sekali lagi menggunakan makanan sebagai alat untuk berperang.

Ketua Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen turut mengeluarkan kenyataan bahawa Russia menggunakan bekalan makanan sebagai alat peperangan ketika persidangan di Davos pada awal bulan ini.

Ketua Jabatan Presiden Ukraine, Andriy Yermak juga berpandangan Russia ‘cuba mewujudkan semula Holodomor’ dengan menghancurkan semua kawasan agrikultur di Ukraine.

“Semua bekalan bijirin Ukraine dirampas oleh Russia dan mereka hanya salurkan bantuan kepada mana-mana rakyat negara ini yang menyokong Moscow,” jelas Grynevych.

ERA STALIN TERUS DIINGATI

Kharkiv yang terletak lebih 450 kilometer ke timur Kyiv merupakan ibu negara pertama Republik Sosialis Soviet Ukraine dari 1919 hingga 1934.

Ketika itu, kawasan di wilayah berkenaan disifatkan sebagai satu daripada 23 tempat paling subur di seluruh Kesatuan Soviet.

Di kawasan perkampungan Cheremushna, satu per tiga penduduknya mati akibat krisis kebuluran.

Sehubungan itu, era kezaliman Stalin akan terus diingati oleh setiap keluarga di kawasan berkenaan biarpun yang hanya tinggal adalah memori pahit.

Sementara itu, Goncharova menzahirkan kesyukuran kerana biarpun diserang Russia, banyak negara menghulurkan bantuan kepada Ukraine, termasuk bekalan makanan, jauh berbeza semasa era Stalin.

“Kami berterima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan, namun kami tidak tahu berapa lama semua ini akan bertahan,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya