BANGKOK: Satu tinjauan yang dijalankan oleh Universiti Khon Kaen mendapati kebanyakan isi rumah di bahagian timur Thailand menanam ganja hanya untuk dimakan atau dijual, dan bukan untuk dihisap.
E-Saan Poll melakukan tinjauan secara rawak terhadap 1,105 penduduk berusia 18 tahun ke atas di 20 wilayah timur laut Thailand, dari 17 hingga 19 Jun lalu, lapor The Nation.
“Ditanya sama ada mereka merancang untuk menanam ganja di rumah, 51.1 peratus responden menjawab ya, manakala 46.9 peratus berkata tidak.
“Mengenai sama ada mereka akan memilih makanan mengandungi ganja, sebanyak 73.2 peratus berkata ya, 26.8 peratus tidak,” lapor tinjauan itu.
Berhubung sama ada mereka akan menghisap ganja yang sudah diwartakan undang-undang, hanya 66.9 peratus bersetuju dan 33.1 peratus yang lain tidak akan menghisap mahupun mencubanya.
Tinjauan tersebut turut mendapatkan pendapat responden mengenai ganja sebagai tanaman kontan.
Ditanya bagaimana ramalan mereka terhadap nilai ganja setahun dari sekarang, 48.1 peratus yakin harganya akan kekal tinggi dan mendatangkan keuntungan.
Hanya 35.2 peratus mengatakan nilainya akan jatuh sama seperti harga sayur-sayuran lain dan keuntungan kecil diperoleh.
Sementara itu, 16.6 peratus menjangka harga ganja akan mendatangkan keuntungan besar daripada aktiviti penanaman.
Kaji selidik mendapati 33.3 peratus bersetuju penanaman ganja dapat membantu mengurangkan kemiskinan dengan 66.7 peratus tidak yakin dengan aktiviti pertanian tersebut.
Dalam pada itu, sebanyak 48.6 peratus melahirkan kerisauan sekiranya ganja digunakan oleh kanak-kanak, dengan 33.5 peratus sederhana bimbang dan baki yang lain sedikit risau.










