Protes bantah hina Nabi: Dua terbunuh, lebih 130 ditahan - Utusan Malaysia

Protes bantah hina Nabi: Dua terbunuh, lebih 130 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATNA: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan lebih 130 lagi ditahan polis ketika protes yang dicetus kenyataan berbentuk penghinaan dibuat oleh seorang pegawai parti pemerintah mengenai Nabi Muhammad SAW.

Nupur Sharma, 37, dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah, Saidatina Aisyah menerusi debat minggu lalu.

Kenyataan Sharma yang disiarkan semasa siaran debat di televisyen, mencetuskan kemarahan umat Islam di India serta puluhan negara Islam lain.

Umat Islam berhimpun di jalan selepas solat Jumaat secara besar-besaran di India dan negara jiran lain bagi mengutuk penghinaan itu, dengan polis dilihat menembak ke arah orang ramai di timur bandar Ranchi.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk menyuraikan orang ramai sehingga mengakibatkan dua terbunuh,” kata seorang pegawai polis dari timur bandar Ranchi.

Jelasnya, orang ramai melanggar arahan polis yang melarang mereka berarak dari masjid ke pasar serta membaling batu dan botol pecah apabila polis cuba menyuraikan protes itu.

Pihak berkuasa dilaporkan memutuskan sambungan internet di bandar itu dan mengenakan perintah berkurung.

Sementara itu, polis di Uttar Pradesh dilaporkan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan sekurang-kurangnya satu perhimpunan selepas beberapa protes diadakan di seluruh utara negeri itu.

Menurut Setiausaha Kanan kerajaan negeri, Avanish Awasthi, kebanyakan protes berakhir dengan aman namun peserta di beberapa bandar bertindak membaling batu ke arah polis dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang pegawai.

Polis di negeri itu, Prashant Kumar berkata, seramai 136 orang ditahan dari enam daerah sekitar Uttar Pradesh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN