PHNOM PENH: Parti pembangkang, Candlelight Party (CP) yang hanya meraih undian sebanyak 18 peratus menyifatkan perjalanan pilihan raya tempatan adalah ‘tidak bebas dan adil’ serta ‘tidak mencerminkan kehendak rakyat Kemboja’.
Pemimpin pembangkang berharap pilihan raya yang bermula sejak Ahad lalu, menjejaskan cengkaman kuasa Sen selama beberapa dekad menjelang pilihan raya negara tahun depan.
CP mengeluarkan kenyataan tersebut susulan parti pemerintah Kemboja memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya berdasarkan keputusan awal yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan negara.
Keputusan awal menunjukkan Parti Rakyat Kemboja (CPP) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Hun Sen memperoleh kira-kira 80 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan sekali gus mencatatkan kejayaan besar.
Dokumen CPP yang dilaporkan AFP menunjukkan parti Sen menerima lebih 5.3 juta undi popular, manakala, CP hanya 1.6 juta undi.
Bagaimanapun, parti pembangkang itu tidak berhasrat menolak keputusan tersebut.
Jawatankuasa Pilihan Raya Nasional Kemboja (NEC) melaporkan sebanyak tujuh juta orang mengundi dalam pilihan raya itu.
Keputusan rasmi pilihan raya itu dijangka hanya dikeluarkan 26 Jun depan.-AFP









