JAKARTA: Sebanyak 58.8 peratus pakar tidak pasti sama ada pemindahan ibu negara (IKN) baharu berjalan mengikut perancangan pihak kerajaan atau sebaliknya.
Tinjauan yang dilakukan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) melibatkan 170 responden yang terdiri daripada pakar akademik, wartawan dan ahli politik, lapor CNN Indonesia.
Hanya 41.2 peratus percaya proses pemindahan tersebut menetapi sasaran yang diletakkan.
Penyelidik di Jabatan Politik dan Sosial CSIS, Noory Okhtariza berkata, responden tidak pasti dengan peruntukan dan matlamat kerajaan memindahkan penjawat awam bermula 2024.
Difahamkan, proses IKN ke Kalimantan Timur akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pemindahan pertama pada 2024.
Ia akan melibatkan tiga kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.
“Boleh dilakukan atau tidak? Malah, kita tidak yakin sama ada proses ini akan bertahan pada masa akan datang.
“Sebagai contoh, adakah apabila pemimpin berubah program itu akan diteruskan atau sebaliknya? Itu juga menjadi persoalan,” kata Noory.
Tinjauan juga mendapati majoriti responden merasakan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) tidak berupaya menampung pembiayaan pemindahan IKN baharu.
Hanya 30.6 peratus responden yang menyakini keupayaan APBN menampung dana tersebut.
Awal tahun lalu, Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa mengumumkan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur dinamakan sebagai Nusantara.
Jelasnya, nama tersebut dipilih dan disahkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.









