Myanmar tidak dijemput sertai Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India - Utusan Malaysia

Myanmar tidak dijemput sertai Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India

SAIFUDDIN Abdullah ketika berucap mewakili Malaysia pada Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India di New Delhi semalam. - Foto ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Junta tentera Myanmar sekali lagi menerima tamparan hebat apabila tidak dijemput menyertai Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM) semalam.

Perkara itu disahkan oleh jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India, Arindam Bagchi, sejajar ketetapan rasmi oleh kerajaan negara berkenaan terhadap pendirian ASEAN.

“Posisi blok serantau Asia Tenggara ke atas Myanmar bagi penyertaan forum pelbagai hala memutuskan Yangon hanya dapat dipelawa bagi peringkat bukan politik,” katanya.

Beliau dipetik agensi berita Press Trust of India, memaklumkan kementeriannya tidak mengeluarkan surat undangan rasmi kepada Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin.

Pemimpin itu juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-India Ke-24 dan Dialog Delhi Ke-12 di ibu kota New Delhi yang berlangsung selama dua hari sejak semalam.

Ini merupakan kali kedua Myanmar tiada wakil dalam forum anjuran blok itu selepas Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-18 yang telah diadakan secara maya pada 28 Oktober 2021 lalu.

Difahamkan tindakan New Delhi menyekat kehadiran pemimpin politik Naypyidaw itu ekoran tekanan kuat dari ASEAN membantah keras rampasan kuasa oleh junta pada 1 Februari 2021.

Hubungan dialog formal antara ASEAN dan India bermula dengan mesyuarat secara sektor pada 1992, diikuti dialog penuh pada 1995 serta Sidang Kemuncak ASEAN-India pada 2002.

Sementara SAIFMM pula merupakan julung kali dihoskan India sendiri bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India dan tahun ke-10 Kerjasama Strategik.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, manakala anggota delegasi Sekretariat ASEAN pula diketuai sendiri Setiausaha Agung, Datuk Lim Jock Hoi.

Sesi tersebut turut melakar sejarah apabila dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar dengan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan.

SAIFFM menetapkan 2022 sebagai Tahun Persahabatan ASEAN-India selaras tiga dekad usia perhubungan yang diperkukuhkan menerusi Dialog Delhi Kali Pertama pada 2009 lepas.

Dalam pada itu, Saifuddin melalui hantaran di laman sosialnya mengulangi pendirian Malaysia agar ASEAN mencari cara baharu dan kreatif bagi penyelesaian kekal konflik di Myanmar.

“Ini termasuk penglibatan wakil dari Kerajaan Perpaduan Nasional dan Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan Myanmar dalam setiap perundingan dengan pihak junta,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau yakin ASEAN dan India boleh mencipta ekosistem rantaian bekalan global yang teguh serta mempelbagaikan kerjasama meliputi pelbagai bidang berkepentingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN