SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memastikan proses pemilihan bagi melantik syarikat pengendali dan pembekal bagi ibadah korban di seluruh masjid dilakukan dengan teliti.
Oleh itu, bagi memastikan persiapan ibadah korban berjalan lancar, MUIS mengarahkan syarikat terlibat menghantar wakil ke rumah penyembelihan tersebut.
Syarikat A2A Trading Pte Ltd, yang berpengalaman mengendalikan ibadah korban dengan rumah sembelihan di Australia, sejak 10 tahun lalu, antara yang dipilih oleh Jawatankuasa SalamSG bagi melaksanakan ibadah korban di negara ini.
Pengarahnya, Adlee Nazree Suparman berkata, pihaknya akan menghantar wakil yang berasal dari Perth, dua hari sebelum acara korban dijalankan.
“Seorang imam di Masjid Thornley, Australia akan dihantar ke rumah penyembelihan yang akan melaksanakan ibadah korban.Wakil tersebut akan memilih kambing biri-biri di kandang dan memastikan kesempurnaan haiwan itu.
“Ini kerana, syarat ibadah korban sempena Aidiladha perlu memastikan haiwan itu sempurna daripada segi anggota badan, kedua-dua mata dan kakinya,” katanya lapor berita.mediacorp.
Adlee berkata, pihaknya hanya berurusan dengan syarikat atau rumah penyembelihan yang mempunyai status halal yang diyakini.
“Kita selalu bekerjasama dengan empat ke lima rumah penyembelihan di Australia. Ada di antara mereka dimiliki oleh orang Islam dan Arab sepenuhnya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua SalamSG Korban, Mohamad Rafi Eusope berkata, proses pemilihan tersebut dilakukan seawal Februari lalu.
Beliau juga mengesahkan ketiga-tiga syarikat yang menyediakan perkhidmatan korban bagi Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak akan mendapatkan daging korban daripada rumah penyembelihan di Australia, Thomas Foods International Lobethal (TFIL).
1 Jun lalu, MUIS mengarahkan semua pemegang sijil halalnya untuk menghentikan import serta-merta dan penggunaan produk daging daripada pusat penyembelihan TFIL.
MUIS mengambil tindakan tegas tersebut susulan pendedahan Utusan Malaysia sejak 14 April lalu, apabila seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia membuat pengakuan secara terbuka.
Lelaki itu mendakwa mempunyai bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di sana melanggar protokol sebagaimana didedahkan.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan TFIL susulan isu penyembelihan yang meragukan sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.
Malah, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu pula akan diberi surat tunjuk sebab.