THE HAGUE: Pihak pendakwaan gagal membuktikan peluru berpandu buatan Russia menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, lapan tahun lalu.
Peguam Sabine Tan yang mewakili tertuduh, Oleg Pulatov berkata, terdapat kelompangan dalam kes pendakwaan kerana pihak mereka terlalu tertumpu untuk membuktikan kumpulan pemisah menggunakan peluru berpandu BUK yang dibekalkan Russia.
Jelasnya, pasukan pendakwaan perlu mencari bukti lebih konklusif bagi menyokong dakwaan mereka.
“Sebagai contoh, jejak asap yang dilihat sejurus peluru berpandu dilepaskan tidak dapat dibuktikan sebenarnya adalah milik peluru berpandu BUK.
“Kesimpulannya, pihak pendakwaan gagal membuktikan daripada perbualan, imej dan kenyataan saksi ini adalah peluru berpandu yang menjatuhkan MH17.
“Walaupun peluru berpandu dilancarkan, ia tidak dapat dibuktikan secara konklusif ini adalah peluru berpandu yang meyerang pesawat tersebut,” katanya ketika sesi penggulungan hujah di akhir kes pembelaan, minggu ini.
Perbicaraan itu diadakan di sebuah mahkamah dijaga rapi berdekatan Lapangan Terbang Schipol yang merupakan lokasi pesawat malang itu berlepas dan dibicarakan di Belanda kerana 196 mangsa adalah rakyat negara itu.
Tan meminta pihak hakim mempertimbangkan hujah tersebut bagi membebaskan anak guamnya.
Disember lalu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara seumur hidup terhadap keempat-empat tertuduh iaitu bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB), Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera Russia (GRU), Sergey Dubinsky; bekas pegawai tentera Spetznaz, Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine yang dibicarakan secara in absentia (tidak hadir).
Hanya Pulatov diwakili peguam.
Moscow enggan mengekstradisi tertuduh yang berada di Russia, selain menafikan bertanggungjawab seperti didakwa oleh kerajaan Belanda.
Hasil siasatan antarabangsa mendapati peluru berpandu BUK adalah milik Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Rusia yang berpusat di bandar Kursk bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.
Pesawat Boeing 777 itu melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, sebelum ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Perbicaraan secara rasmi bermula sejak Mac tahun lalu, tetapi hanya membabitkan hujahan terutamanya mengenai penerimaan kemasukan bahan bukti kejadian nahas pesawat yang menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.
Keputusan akan dibuat paling awal November depan.-AFP