KYIV: Kementerian Pertahanan Britain memaklumkan bandar pelabuhan Mariupol yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Russia berisiko besar diancam wabak kolera.
Jelasnya, kolera atau taun merebak akibat makanan atau minuman yang sudah tercemar dan berkait rapat dengan sanitasi yang buruk.
Jangkitan itu boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit berair, kehilangan cecair dan dehidrasi yang teruk serta boleh membawa maut.
Keadaan tersebut bertambah buruk dengan mayat bergelimpangan, sampah yang tidak dikutip serta kawasan persekitaran yang tidak bersih.
Sebelum ini, terdapat laporan mengenai penularan penyakit itu dan kes terpencil di bandar itu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kebanyakan infrastruktur di bandar musnah dan hancur teruk sehingga menyebabkan bekalan air bersih bercampur dengan sisa kumbahan.
Datuk Bandar Ukraine, Vadym Boychenko berkata, wabak kolera dan penyakit berjangkit lain sudah merebak sehingga menyebabkan bandar itu terpaksa ditutup bagi mengelakkan jangkitan lebih besar.
BBC belum dapat mengesahkan dakwaan itu dan Datuk Bandar yang dilantik oleh pihak Russia menjelaskan beberapa ujian sedang dijalankan dan tiada kes kolera dilaporkan lagi.-BBC