PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron hilang majoriti di Parlimen dalam pilihan raya pada Ahad, sekali gus menyaksikan satu kekalahan besar yang boleh menyebabkan politik negara itu lumpuh.
Lapor AFP, Macron boleh mengekalkan kuasa sekiranya beliau dapat berunding dengan parti lain.
Keputusan penuh pengundian kedua yang diumumkan awal pagi hari ini menyaksikan parti gabungan Macron memperoleh 245 kerusi, iatu kurang daripada 289 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti dalam Parlimen yang mempunyai seramai 577 ahli.
Bagaimanapun, gabungan Macron akan tetap menjadi parti terbesar dalam Dewan Rakyat yang merupakan dewan paling berkuasa dalam Parlimen Perancis.
Sebelum ini, menerusi kempen pilihan raya, Macron merancang melakukan pembaharuan termasuk meningkatkan umur persaraan.
Beliau menerima tamparan hebat setelah pakatan sayap kiri yang baharu ditubuhkan mendapat kemenangan besar.
Keputusan undian pusingan kedua menyebabkan politik Perancis bergolak serta meningkatkan prospek badan perundangan yang lumpuh atau gabungan Ensemble berantakan dengan Macron.
Macron, 44, kini juga berisiko terganggu oleh masalah domestik kerana beliau berusaha memainkan peranan penting dalam menamatkan operasi ketenteraan khas Russia ke atas Ukraine dan sebagai negara utama dalam Kesatuan Eropah (EU).
April lalu, rakyat Perancis memilih untuk mengekalkan Macron sebagai Presiden negara itu bagi meneruskan penggal baharunya selama lima tahun lagi.
Macron meraih 58 peratus undian pada pusingan kedua Pilihan Raya Presiden 2022 berbanding pencabarnya, Marine Le Pen dengan 41 peratus undian.-AFP