TOKYO: Australia menyaksikan lonjakan kes selesema ketika negara itu turut berdepan peningkatan kes Covid-19.
Situasi itu sekali gus mewujudkan krisis kesihatan “berkembar” musim infulenza di Australia yang kebiasaannya berlaku antara Jun hingga September, menyaksikan penurunan ketara selama dua tahun berturut-turut selepas wabak Covid-19 melanda pada 2020.
Bagaimanapun, kes mula meningkat sejak akhir April lalu.
Nikkei Asia yang memetik Jabatan Kesihatan Australia melaporkan, kira-kira 88,000 kes influenza dilaporkan tahun ini sehingga 5 Jun.
Lebih 50 peratus daripada kes ini, atau sedikit di bawah 48,000, didiagnosis dalam dua minggu berakhir pada 5 Jun.
Sejak pertengahan April, kes terus melebihi purata dalam tempoh lima tahun.
Peningkatan pesakit bermula lebih awal daripada tahun-tahun sebelumnya, seperti 2019, dan kadar peningkatan adalah lebih pantas berbanding beberapa tahun sebelumnya.
Influenza dan Covid-19 adalah penyakit membabitkan pernafasan, merebak melalui laluan jangkitan yang sama.
Kedua-duanya juga lebih lazim pada musim sejuk. Pakar kesihatan sudah lama mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan wabak berkembar, tetapi dunia setakat ini berjaya mengelakkannya.
Langkah-langkah yang diambil untuk mencegah Covid-19, seperti memakai topeng, mencuci tangan, menjaga jarak dan sekatan perjalanan juga berkesan terhadap influenza.
Bagaimanapun, selepas aktiviti ekonomi dan sosial disambung semula, langkah-langkah itu ditarik balik.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes influenza meningkat di Australia, New Zealand, Chile dan Uruguay.
Secara amnya, keadaan di Australia dilihat sebagai penunjuk utama mengenai apa yang akan berlaku di Jepun.
Pengarah Pusat Pengawasan, Imunisasi dan Penyelidikan Epidemiologi di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Tokyo, Motoi Suzuki, memberi amaran bahawa Jepun akan turut mengalami penularan influenza berikutan lebih ramai orang memasuki negara itu.
“Wabak ini boleh bermula lebih awal dari sebelumnya, pada bulan Ogos atau September, atau boleh menjadi lebih besar dalam skala, katanya.