Kalah majoriti di Parlimen, Presiden Perancis 'malu besar'

Kalah majoriti di Parlimen, Presiden Perancis ‘malu besar’

MACRON beramah mesra dengan orang ramai semasa tiba di pusat pengundian Le Touquet, utara Perancis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Hanya selepas dua bulan tempoh dilantik semula bagi penggal kedua, harapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron meneruskan agenda domestik ibarat kelihatan kabur untuk direalisasikan.

Keputusan penuh pengundian kedua Pilihan Raya Presiden 2022 yang diumumkan menyaksikan parti gabungan Macron iaitu Ensemble atau Together hanya memperoleh 245 kerusi berdasarkan kiraan undi 97 peratus.

Angka tersebut kurang daripada 289 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti dalam Parlimen yang mempunyai seramai 577 ahli.

Situasi ini amat janggal berlaku di bawah kepemimpinan Presiden yang terpalit dengan sentimen Islamophobia menebal dalam kalangan penduduk Islam.

Walaupun perubahan drastik itu tidak akan menjejaskan dasar luar Perancis secara teorinya, namun timbul kebimbangan mengenai gangguan berterusan yang boleh menjejaskan Macron kerana nasibnya bagai telur di hujung tanduk.

BENTUK GABUNGAN

Gabungan Ensemble dilihat berkemungkinan besar akan menghubungi parti sayap kanan tradisional Perancis, Republikan (LR) yang setakat ini memenangi 61 kerusi dan sekutu kanan UDI.

Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne menerusi siaran televisyen menegaskan keputusan tersebut menimbulkan risiko kepada negara dan akan berusaha membina majoriti yang berfungsi.

Menteri Hal Ehwal Parlimen, Olivier Veran optimis gabungan itu akan membentuk majoriti segera.

Menteri Ekonomi, Bruno Le Maire berkata, parti pemerintah memerlukan ‘banyak imaginasi’ dan beliau menyeru pihak yang berkongsi ‘idea jelas’ Macron untuk menyokongnya.

Parti National Rally bawah pemimpin berhaluan kanan, Marine Le Pen, turut mencatat pencapaian besar dengan kemenangan 89 Ahli Parlimen dalam pilihan raya kali ini.

Le Pen meraikan keputusan bersejarah bagi partinya itu dengan memaklumkan ia adalah bilangan tertinggi ahli Parlimen mereka setakat ini, yang membarisi Perhimpunan Kebangsaan akan datang.

Pilihan raya kali ini antara lain menyaksikan Menteri Kesihatan, Brigitte Bourguignon; Menteri Maritim, Justine Benin; dan Menteri Alam Sekitar, Amelie de Montchalin yang merupakan tunjang pentadbiran Macron sepanjang tempoh beberapa tahun lalu tewas serta bakal disingkirkan daripada kerajaan.

Keputusan pilihan raya itu turut merekodkan kemenangan Rachel Keke, bekas pekerja pembersihan yang berkempen untuk keadaan kerja lebih baik di hotel tempat beliau pernah bertugas. Wanita itu mengalahkan bekas Menteri Sukan bawah Macron, Roxana Maracineanu.

RUNDINGAN

Kerajaan minoriti terpaksa bergantung sokongan parti pembangkang bagi setiap rang undang-undang yang dibentangkan.

Proses ini menuntut perbahasan panjang sebelum setiap RUU akan diundi dalam Parlimen.

Sekali lagi, Republikan adalah kunci utama memandangkan sokongan daripada pakatan berhaluan kiri NUPES atau Perhimpunan Kebangsaan sayap kanan akan diketepikan.

NUPES yang baru dibentuk oleh kepemimpinan Jean-Luc Melenchon memenangi 135 kerusi berdasarkan keputusan diumumkan Kementerian Dalam Negeri.

NUPES ditubuhkan Mei lalu dengan pakatan membabitkan parti Sosialis, Komunis dan Greens.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Pantheon-Sorbonne Paris, Dominique Rousseau berkata, Macron boleh mentadbir negara dengan kedudukan minoriti selagi parti pembangkang tidak bergabung menentang kerajaan.

Untuk rekod, Perdana Menteri Sosialis, Michel Rocard pernah mengetuai kerajaan minoriti berhaluan kiri dari 1988 hingga 1991 selepas memenangi Pilihan Raya Parlimen 1988.

PILIHAN RAYA BAHARU

Sebagai pilihan terakhir, jika Parlimen masih buntu dan tiada kerajaan stabil boleh dibentuk, Macron mempunyai satu pilihan lain sama ada membubarkan Dewan Rakyat dan melaksanakan pilihan raya baharu.

Bagaimanapun, keputusan tersebut sangat berisiko kerana sentimen rakyat yang tidak menentu ditambah dengan kemarahan yang semakin meningkat mengenai inflasi serta peningkatan sokongan bagi parti berhaluan kiri seperti NUPES dan parti berhaluan kanan, Le Pen.

Kebuntuan ini bergantung kepada pengundi kerana akhirnya mereka yang akan memilih kerajaan yang stabil dan parti mana yang patut dihukum dalam pilihan raya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN