Jet pejuang China pintas pesawat peronda Australia - Utusan Malaysia

Jet pejuang China pintas pesawat peronda Australia

PESAWAT P-8 Poseidon berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Amberley di Queensland untuk membantu kerajaan Tonga susulan letusan gunung berapi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sebuah jet pejuang China memintas pesawat peronda maritim Australia secara berbahaya di wilayah Laut China Selatan, bulan lalu.

Jabatan Pertahanan Australia memaklumkan pesawat P-8 milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dipintas oleh jet pejuang J-16 China ketika melakukan ‘aktiviti pengawasan maritim rutin’ di ruang udara antarabangsa di wilayah itu, 26 Mei lalu.

“Pintasan itu mengakibatkan gerakan berbahaya yang mengancam keselamatan pesawat P-8 dan anak kapalnya,” jelas kenyataan itu.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, kerajaan sudah menyatakan kebimbangan berhubung isu itu kepada China `melalui saluran yang betul’.

Setakat ini, Kedutaan China di Australia belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

Menteri Pertahanan, Richard Marles berkata, jet pejuang China terbang berdekatan di hadapan pesawat RAAF dan membebaskan bungkusan mengandungi kepingan kecil aluminium yang terserap ke dalam enjin pesawat Australia.

“Sudah tentu kejadian ini amat berbahaya,” katanya kepada stesen televisyen, ABC.

Sebelum ini, Australia bersama Amerika Syarikat (AS) menolak tuntutan China di sekitar pulau dipertikaikan di Laut China Selatan dengan menegaskan republik itu melanggar undang-undang antarabangsa.

Jabatan Pertahanan memaklumkan Australia menjalankan pengawasan maritim di wilayah berkenaan sejak beberapa dekad lalu.

Malah, jelasnya, tentera Australia melakukan aktiviti pengawasan itu mengikut undang-undang antarabangsa, menggunakan hak kebebasan pelayaran serta penerbangan di perairan dan ruang udara antarabangsa.

Hubungan antara Australia dan China tegang baru-baru ini berikutan pengaruh Beijing yang semakin meningkat di Pasifik selepas negara itu memeterai perjanjian keselamatan serantau dengan negara Pulau
Pasifik. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN