JAKARTA: Jenazah Emmeril Kahn Mumtadz selamat tiba di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Cengkareng, Tangerang, kira-kira pukul 3.56 petang (waktu tempatan) selepas diterbangkan dari Switzerland semalam.
Emmeril atau lebih dikenali dengan panggilan Eril yang merupakan anak kepada Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil akan dikebumikan di tanah milik keluarga di Cimaung, Bandung, esok pagi.
Eril sebelum ini dilaporkan hilang ketika berenang bersama adiknya Camillia Laetitia Azzahra dan rakan mereka di sungai yang panjangnya melintasi tiga wilayah Bern, Solothurn dan Aargau serta empat danau iaitu Danau Brienz, Thun, Wohlen dan Biel.
Anak sulung kepada Gabenor Jawa Barat itu berada di Switzerland bersama keluarganya untuk mencari institusi pendidikan bagi melanjutkan pendidikannya sehingga ke tahap sarjana.
Sejurus selepas berita kehilangan Eril dilaporkan media tempatan dan Indonesia, Ridwan serta isterinya, Atalia Praratya kekal di Switzerland untuk membantu usaha operasi mencari dan menyelamat.










