SHANGHAI: Seorang lelaki meminta bekas kekasihnya membayar sejumlah pampasan sebagai ganti rugi sepanjang mereka bercinta sebelum memutuskan hubungan.
Bagi tujuan tersebut, lelaki itu menyediakan senarai perbelanjaan beserta masa dan tarikh termasuk keterangannya.
Senarai itu kemudiannya dihantar kepada bekas kekasihnya dan menuntut wanita itu membayar ganti rugi.
Senarai itu tersebar meluas dalam media sosial dan mendapat banyak reaksi daripada pengguna internet.
Antara yang disenaraikan oleh lelaki itu termasuk ‘pembelian dua botol air mineral’ dan menjaga ibu teman wanitanya yang sakit.
Lelaki itu menuntut bekas kekasihnya membayar semua ganti rugi mengikut senarai tersebut dalam amaun penuh yang keseluruhannya berjumlah hampir AS$9,000 (RM39,626).
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada bekas kekasihnya mahu membayar ganti rugi tersebut atau sebaliknya.
Tindakan lelaki itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai ‘tidak layak untuk bercinta’ kerana terlalu berkira, selain tidak dapat menerima hakikat hubungannya dengan wanita berkenaan sudah terputus.