LONDON: Hong Kong sekali lagi menduduki tempat pertama dalam senarai bandar paling mahal di dunia untuk didiami pada tahun ini.
Memetik laporan CNN Travel, senarai tahunan itu dikeluarkan oleh syarikat mobiliti global, ECA International.
Penyenaraian itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk harga purata bahan makanan rumah seperti susu dan minyak masak, sewa, utiliti, pengangkutan awam dan kekuatan mata wang tempatan.
Ini adalah tahun ketiga berturut-turut Hong Kong mendapat pengiktirafan itu sebagai bandar paling mahal di dunia dalam indeks ECA.
Indeks itu secara khusus memberi tumpuan terhadap pekerja asing dan ekspatriat dalam kedudukan mereka.
Tinjauan itu juga mendapati New York menduduki tempat kedua dalam senarai bandar paling mahal di dunia untuk didiami tahun ini diikuti Geneva, London dan Tokyo.
Asia boleh dikatakan menjadi benua paling mahal, dengan lima bandar raya iaitu Hong Kong, Tokyo, Shanghai, Guangzhou dan Seoul menduduki senarai 10 teratas.
Sementara itu, Pengarah Serantau ECA untuk Asia, Lee Quane berkata, keputusan itu menjelaskan kehadiran China yang semakin meningkat dalam indeks itu.
“Majoriti bandar di tanah besar China dalam kedudukan kami mempunyai kadar inflasi yang lebih tinggi berbanding yang biasa dilihat, namun ia masih lebih rendah daripada tempat lain di Asia.
“Justeru, punca utama kenaikan dalam kedudukan mereka ialah kekuatan berterusan yuan China berbanding mata wang asing utama lain,” katanya.
Jelasnya, Paris yang pernah mendahului senarai ECA pada masa lalu tersingkir daripada senarai 30 teratas diikuti Madrid, Rom dan Brussels.
“Hampir setiap bandar utama zon Eropah menyaksikan kejatuhan dalam senarai tahun ini kerana prestasi mata wang Euro lebih teruk dalam tempoh 12 bulan lalu berbanding dolar Amerika Syarikat dan pound Sterling.
“Faktor luaran seperti politik dan konflik antarabangsa juga boleh memainkan peranan.
“Misalnya, insiden pencerobohan Russia di Ukraine dan sekatan dilakukan oleh kebanyakan negara menyebabkan Moscow berada di tempat ke-62 dan St Petersburg di tempat ke-147,” katanya.