MUMBAI: Pemimpin kumpulan terkemuka dan pihak masjid di India merayu kepada umat Islam supaya menangguhkan rancangan protes terhadap kenyataan pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) yang melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Lapor Reuters, anggota Kanan Jamaat-e-Islami, Malik Aslam berkata, rayuan itu dibuat bagi mengelak perhimpunan besar diadakan selepas demonstrasi bertukar ganas minggu lalu, sehingga menyebabkan kematian dua remaja Islam dan mencederakan lebih 30 orang, termasuk polis.
“Ini adalah tugas setiap umat Islam untuk berdiri teguh apabila ada individu yang memperkecilkan Islam, namun, pada masa sama pentingnya untuk mengekalkan keamanan,” katanya.
Polis menahan hampir 400 individu yang disyaki merusuh semasa pergolakan di beberapa negeri dan perintah berkurung dikenakan serta perkhidmatan internet digantung di beberapa tempat.
Sebelum ini, dua pegawai parti BJP, Nupur Sharma dan Naveen Kumar Jindal mencetuskan kemarahan umat Islam di India dan puluhan negara Islam lain selepas menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.
Penghinaan dibuat menerusi debat yang disiarkan dalam televisyen serta hantaran yang dimuat naik dalam media sosial.
BJP menggantung keahlian Sharma dan memecat Jindal kerana parti itu mengecam sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama.
Walaupun pihak polis sudah membuka kertas siasatan terhadap kedua-duanya, namun, ia tidak menghalang orang Islam turun ke jalanan menganjurkan protes.
Ketegangan makin memuncak selepas pasukan keselamatan India bertindak merobohkan kediaman beberapa individu yang didakwa terlibat dalam himpunan bantahan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
India juga dihimpit krisis diplomatik selepas Qatar, Arab Saudi, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Pakistan menuntut permohonan maaf secara rasmi.
Dalam usaha meredakan kemarahan negara Islam, diplomat India tampil menjelaskan kenyataan kedua-dua individu itu tidak mencerminkan langsung pendirian kerajaan.










