Hina nabi: Giliran AS pula kecam India

Hina nabi: Giliran AS pula kecam India

AKTIVIS parti Tehreek-e-Labbaik berarak semasa protes membantah kenyataan menghina Nabi Muhammad di Rawalpindi, Pakistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengutuk keras kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh parti pemerintah India yang menimbulkan kecaman di kebanyakan negara Islam sebelum ini.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, Washington mengecam kenyataan menyinggung perasaan oleh dua anggota parti Bharatiya Janata (BJP) dan pihaknya memuji tindakan parti tersebut yang mengkritik kenyataan yang dibuat ahlinya.

“Kami kerap berhubung dengan kerajaan India mengenai kebimbangan hak asasi manusia termasuk kebebasan beragama atau kepercayaan.

“Kami mahu India menghormati hak asasi manusia,” katanya.

Pada 26 Mei lalu, dua pegawai parti BJP, Nupur Sharma dan Naveen Kumar Jindal mencetuskan kemarahan umat Islam di India dan puluhan negara Islam lain selepas menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Penghinaan dibuat menerusi debat yang disiarkan dalam televisyen serta hantaran yang dimuat naik dalam media sosial.

BJP menggantung keahlian Sharma dan memecat Jindal kerana parti itu mengecam sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama.

Walaupun pihak polis sudah membuka kertas siasatan terhadap kedua-duanya, namun, ia tidak menghalang orang Islam turun ke jalanan menganjurkan protes.

Ketegangan makin memuncak selepas pasukan keselamatan India bertindak merobohkan kediaman beberapa individu yang didakwa terlibat dalam himpunan bantahan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

India juga dihimpit krisis diplomatik selepas Qatar, Arab Saudi, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Pakistan menuntut permohonan maaf secara rasmi.

Sejak akhir 1990-an, AS berusaha mengeratkan hubungan dengan India kerana percaya dua negara demokrasi terbesar di dunia mempunyai kepentingan bersama terutamanya dalam menghadapi kebangkitan China.

Washington beberapa kali menyuarakan kebimbangan mengenai hak asasi manusia di India, ketika Perdana Menteri, Narendra Modi berdepan tuduhan melaksanakan dasar yang menyasarkan penduduk minoriti Islam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN