JAKARTA: Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga tiket Candi Borodubur sebanyak 750,000 rupiah (RM227) bagi pelancong domestik dan AS$100 (RM439) bagi pelancong asing.
Harga tiket bagi golongan pelajar pula adalah 5,000 rupiah (RM1.50), lapor CNN Indonesia.
Pihak kerajaan turut bersetuju mengehadkan kemasukan pelancong ke candi itu sebanyak 1,200 orang sehari.
Pelancong juga diwajibkan menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan tempatan untuk mengelilingi kawasan candi itu.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, kenaikan harga tiket tersebut bertujuan memelihara sejarah, khazanah dan kebudayaan Indonesia.
Bagaimanapun, kenaikan harga tersebut ditentang banyak pihak kerana berisiko menyebabkan pelancong tidak berminat datang.
Ahli Parti Demokratik, Putu Supadma Rudana berkata, kenaikan harga tersebut adalah tidak wajar kerana kuasa membeli orang ramai masih rendah selepas fasa pandemik.
Putu yang juga Pengerusi Persatuan Muzium Indonesia berharap pihak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
“Jangan disebabkan harga tiket itu menjejaskan penduduk setempat yang sangat bergantung kepada kedatangan pelancong untuk meneruskan kehidupan harian mereka,” katanya.
Sementara itu, Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo menjelaskan penetapan harga tiket itu adalah bagi pelancong tempatan sahaja.
Jelasnya, kenaikan harga 750,000 rupiah adalah bagi pelancong yang hendak naik ke bangunan Candi, sementara tiket masuk adalah 50,000 rupiah (RM15).
Namun, katanya, pelancong yang membayar 50,000 rupiah hanya dibenarkan memasuki kawasan sehingga pelataran Candi sahaja dan tidak dibenarkan naik ke kawasan stupa.
“Masuk kawasan dan naik ke Candi adalah dua perkara berbeza yang perlu disampaikan kepada orang ramai agar bisa tahu kenapa ada pembatasan naik ke Candi,” katanya.