Guru di Ohio bawa pistol ke sekolah selepas latihan 24 jam

Guru di Ohio bawa pistol ke sekolah selepas latihan 24 jam

PARA pelajar menyertai protes aman membantah keganasan senjata api di Los Angeles, California pada 31 Mei lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OHIO: Negeri Ohio bersedia untuk menggubal undang-undang yang membenarkan guru dan petugas menggunakan senjata api di sekolah sebaik sahaja mereka menamatkan latihan lengkap dalam tempoh 24 jam.

Pihak yang menyokong langkah tersebut menyifatkan tindakan berkenaan dapat mengurangkan insiden tembakan di sekolah yang sejak kebelakangan ini ‘semakin aktif dan membimbangkan’.

Namun, pandangan berbeza dilontarkan pihak pembangkang, termasuk kesatuan guru dan kesatuan polis Ohio yang berpendapat langkah itu hanya menjadikan sekolah sebagai kawasan berbahaya.

Rang undang-undang itu dimuktamadkan dalam masa 10 hari selepas seorang pengganas remaja yang bersenjatakan senapang AR-15 menembak mati 21 murid dan guru di sekolah rendah di Uvalde, Texas.

Gabenor Ohio, Mike DeWine yang mewakili Republikan memaklumkan, beliau akan menandatangani rang undang-undang itu untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Rang undang-undang itu diwujudkan untuk menolak keputusan Mahkamah Agung Ohio pada tahun lalu yang memerlukan golongan guru menamatkan program latihan selama lebih 700 jam sebelum dibekalkan senjata api di sekolah.

Rang undang-undang itu dijangka diluluskan pada minggu ini.

Golongan guru yang dibekalkan senjata perlu menjalani pemeriksaan rekod jenayah dan menerima lapan jam latihan tambahan setiap tahun berikutnya.

Dalam pada itu, Persatuan Pendidikan Ohio dan Persatuan Guru Ohio menerusi kenyataan bersama menegaskan rang undang-undang itu terburu-buru dan berisiko tinggi.

Kedua-dua persatuan itu menjelaskan, langkah tersebut membuatkan guru berdepan dengan pembuatan keputusan yang salah melibatkan hidup dan mati disebabkan tempoh latihan yang terlalu pendek.

Sehubungan itu, perkara tersebut boleh menimbulkan lebih banyak ‘bencana dan bahaya’ di sekolah.

Di bawah undang-undang baharu itu, semua sekolah di Ohio perlu memaklumkan kepada ibu bapa para pelajar sekiranya mereka mahu membekalkan senjata kepada guru. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya